KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli

LELAKI dipercayai diserang sawan menyebabkan Proton Waja dipandunya merempuh dinding rumah seorang penduduk di di Simpang Tiga Gajah Mati, di Pendang, semalam.

Dalam kejadian 3.55 petang itu, pemandu kereta, Mohd Fisol Ayob, 43, berasal dari Padang Pusing, cedera dan tidak sedarkan diri, sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Pendang untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia kira-kira 6 petang, sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superindan Arriz Sham Hamezah berkata, ketika kejadian, Mohd Fisol dikatakan memandu seorang diri dari arah Jalan Charuk Kudong.

Beliau berkata, kereta dipandu lelaki itu keluar secara mengejut dari simpang jalan, sebelum merempuh rumah penduduk di tepi jalan.

“Lelaki yang bekerja sebagai penoreh getah terbabit dikatakan mengalami kecederaan pada bahagian kepala, kaki dan tangan akibat kemalangan itu, sebelum meninggal dunia, petang hari sama.

“Kejadian turut menyebabkan sebahagian daripada dinding rumah berkenaan, rosak,” katanya.

Arriz Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Pendang untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, seorang penunggang motosikal, Najmuddin Ahmad, 39, berkata dia sedang menunggang motosikal sebelum ternampak sebuah kereta tiba-tiba meluru ke arah rumah penduduk.

“Saya kemudian memberhentikan motosikal untuk melihat apa yang berlaku. Mujur tiada sesiapa berada di ruang tamu rumah kerana bahagian dindingnya roboh menyebabkan konkrit di dalam rumah.

“Pemandu kereta terbabit pula tidak bergerak dan mungkin pengsan akibat kemalangan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 9:42 AM