Suhaila Shahrul Annuar


MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau mengemukakan rayuan supaya Datuk Seri Alwi Ibrahim dikekalkan sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, sebagai seorang yang 'baru' di kementerian itu, beliau memerlukan orang yang sudah lama berkhidmat dan tahu selok-belok KDN.

“Ya. Itu (Datuk Seri Alwi kekal sebagai KSU KDN) adalah rayuan saya kerana saya berpendapat saya boleh bekerja baik dengan beliau sejak saya masuk di kementerian ini.

“Saya tidak lihat ada apa-apa masalah. Lagi pun saya baru, jadi saya memerlukan seorang yang sudah lama supaya saya tahu apa yang berlaku di kementerian dan perkara itu telah dipersetujui.

“Terima kasih kepada pihak yang memberi kelulusan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 KDN, di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, tercetus spekulasi berhubung pertukaran ‘saat akhir’ dalam senarai rombakan ketua setiausaha membabitkan tiga kementerian.

Kerajaan baru-baru ini, melakukan rombakan besar-besaran dalam pentadbiran awam membabitkan pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat sembilan KSU kementerian dan tiga ketua pengarah.

Bagaimanapun, berlaku perubahan dalam rombakan terbabit apabila ada KSU, yang sepatutnya ditukarkan ke kementerian lain, sebaliknya kekal di kementerian sama, apabila difahamkan ada menteri berkenaan memfailkan rayuan.

Dalam pada itu, berhubung pelantikan Datuk Khairul Dzaimee Daud sebagai Ketua Pengarah Imigresen, beliau menjelaskan jika berlaku kekosongan di sesebuah agensi di bawah kementerian, menteri akan diberitahu dan diminta mencadangkan nama.

“Sebenarnya saya tidak diberitahu mengenai lantikan itu, (Datuk Jamil Rakon). Biasanya kalau ada berlaku kekosongan dalam kementerian, agensi dan sebagainya, menteri diberitahu mengenai kekosongan dan selepas itu diminta kalau saya ada apa-apa nama yang saya nak dicadangkan, maka saya kemukakan.

“Itu pandangan dari saya, jadi saya tak tahu ada pegawai lain (kemukakan) atau JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam). Itu luar dari makluman saya dan bila saya kemukakan nama baharu mereka setuju dengan nama itu. Jadi bagi saya tidak jadi masalah," katanya.

Semalam, selepas Jamil sah dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen pada 4 Januari lalu, berlaku pertukaran ‘saat akhir’ membabitkan jawatan itu.

Pertukaran berlaku apabila Datuk Khairul Dzaimee diumumkan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu berkuat kuasa hari ini, sekali gus ‘melenyapkan’ nama Jamil yang sebelum ini sudah pun disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

‘Pertukaran’ yang berlaku antara Jamil dengan Khairul Dzaimee diumumkan oleh Alwi menerusi satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 11:02 AM