DR Wan Azizah serta Presiden Pertubuhan Perunding Latihan & Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN), Fadzli Yusof, Penasihat Tetap TAMRIN, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Penasihat TAMRIN, Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad dan Pengerusi TAMRIN, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad bersama peserta selepas merasmikan Konvensyen Malaysia Positif 2019, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Zanariah Abd Mutalib

Putrajaya: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui Pakatan Harapan (PH) berdepan laluan sukar menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak sebelum menjadi kerajaan lagi, PH berdepan cabaran apabila menentang BN termasuk calon UMNO dan ia semakin sukar pada PRK kali ini kerana parti itu menggunakan sentimen tempatan.

“Sudah tentu ia sebahagian daripada cara (memainkan sentimen tempatan), tetapi anda perlu bertanding. Berdasarkan apa yang kita tawarkan, sekurang-kurangnya jika pengundi mengundi kita, itu sudah cukup baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Konvensyen Malaysia Positif 2019 dan Kempen Malaysia Positif di sini, semalam.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata demikian ketika mengulas langkah UMNO meletakkan bekas pegawai polis, Ramli Mohd Noor daripada kaum Orang Asli di kawasan itu bertanding di PRK berkenaan.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru antara Ramli, calon PH, M Manogaran dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib serta Wong Seng Yee.

Ditanya sama ada PKR akan mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad berhubung kenyataannya yang dikatakan mengugut untuk melucutkan jawatan Tok Batin serta enggan membayar gaji mereka jika tidak menyokong PH, Dr Wan Azizah berkata, Bob Manolan tidak bermaksud begitu.

“Saya sudah tanya beliau dan beliau memaklumkan tidak bermaksud begitu. (Tindakan) itu saya serahkan kepada Presiden baharu (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Kita memang tidak bersetuju beliau memberi ugutan. Di mana-mana pun, kita mesti berhati-hati dengan apa yang diucapkan,” katanya.

Mengenai beberapa keping gambar yang tular di media sosial sejak pagi semalam menunjukkan seorang wanita mengenakan baju PH memberi wang dipercayai kepada penduduk Orang Asli di Cameron Highlands, Dr Wan Azizah berkata, perkara itu perlu diselidik terlebih dulu.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 12:01 PM