BOM berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


SEBUTIR bom lama dipercayai peninggalan perang dunia kedua ditemui penduduk ketika membersihkan kebun di Kampung Pinangso, di Kudat, semalam.

Difahamkan, polis menerima aduan daripada seorang penduduk kampung berkenaan kira-kira jam 2 petang semalam, mengenai penemuan objek disyaki bom lama ketika membersihkan kebun menggunakan jengkaut.

Berikutan itu, Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah, berkata sepasukan anggota polis dihantar ke kampung berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan sebelum objek itu dikenal pasti sejenis ‘Airbomb’ peninggalan zaman perang dunia kedua.

“Susulan itu, katanya, langkah keselamatan diambil sebelum bom lama terbabit dilupuskan oleh Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

“Pihak polis mengarahkan laluan ke lokasi ditutup, menghentikan kerja pembersihan kebun dan meletakkan garisan kuning sebagai kawasan larangan, selain memaklumkan kepada orang awam,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, bom itu dilupuskan pada jarak lima kilometer daripada orang awam sebagai langkah keselamatan dan mengelak kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 12:22 PM