Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


CALON Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Wong Seng Yee, 40 menyifatkan suasana 'perang' bendera parti sebagai satu pembaziran, selain dia tidak mempunyai wang untuk melakukannya.

Menurutnya, dia tidak akan mengikuti jejak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang mula memasang ribuan bendera merah dan biru bagi membangkitkan bahang kempen PRK yang berlangsung selama 14 hari sehingga hari pengundian 26 Januari ini.

“Saya nampak pasang bendera parti itu amat membazir sebab itu saya tidak akan melakukannya.

“Lagipun saya tidak cukup duit untuk berbuat demikian. Jentera kempen saya pun kurang sebab itu saya hanya bergerak sendirian," katanya selepas melakukan tinjauan mesra bersama pengundi di Habu di Cameron Highlands, hari ini.

Ditanya bagaimanakah beliau akan mendekati pengundi, petani berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Horticultural dari University of Nebraska-Lincoln Amerika Syarikat itu berkata, dia hanya bergantung kepada kekuatan sebagai calon tempatan yang dikenali penduduk.

“Ramai yang sudah kenal saya di sini jadi saya rasa lebih mudah saya bertemu sendiri dengan mereka untuk memberi penerangan dan meraih undi.

“Saya hanya akan memasang beberapa sahaja logo cangkul sebagai simbolik seorang petani di lapan kampung utama selain poster besar menerangkan manifesto saya kepada rakyat,” katanya.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon PH, M Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Noor; serta seorang lagi Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 2:02 PM