Dr Maszlee Malik (kanan) bersalaman dengan bekas gurunya, Sakijan Murni ketika belajar di Maktab Sultan Abu Bakar pada Majlis Amanat Menteri Pendidikan 2019. FOTO Rosela Ismail
Dr Maszlee Malik (kanan) bersalaman dengan bekas gurunya, Sakijan Murni ketika belajar di Maktab Sultan Abu Bakar pada Majlis Amanat Menteri Pendidikan 2019. FOTO Rosela Ismail
Garret Dawum


AMBIL gambar murid dalam kelas dan rekod menerusi sistem dalam talian.

Itu antara pendekatan yang mahu dicetuskan menerusi inisiatif pengurusan data dan sistem dalam talian Kementerian Pendidikan.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu masih belum ditentukan pelaksanaannya sebagai sistem untuk merekod kehadiran murid.

“Itu hanya imaginasi saya pada masa depan seperti intervensi yang digariskan kementerian dan ia tidak akan dilaksanakan sekarang.

“Buat masa ini, guru masih lagi mengisi buku jadual kedatangan murid sebelum Sistem Kehadiran Murid dalam talian akan digunakan sepenuhnya,” katanya selepas menyampaikan amanat Kementerian Pendidikan “Pendidikan Untuk Semua” di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang hari ini.

Lebih 3,000 orang terdiri daripada warga kementerian, agensi di bawah kementerian, pemimpin industri, pertubuhan bukan kerajaan dan exco pendidikan kerajaan negeri hadir untuk mendengar pembentangan hala tuju Kementerian Pendidikan.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Dr Siti Hamisah Tapsir.

Ketika berucap, Maszlee mengumumkan lima inisiatif mengurangkan beban guru iaitu memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi, pengurusan data dan sistem dalam talian, sekolah merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid, penyeragaman borang dan proses pemantauan serta penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah.

“Kelima-lima inisiatif ini akan berkuatkuasa serta-merta. Saya menyeru semua pihak daripada pelbagai bidang dan kemahiran untuk bersama-sama membantu menjayakan semua ini.

“Saya turut mengalu-alukan sesiapa saja yang mahu bersama dalam agenda pembinaan bangsa menerusi pendidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 4:00 PM