Kasman membersihkan tempat suspek ditembak mati. FOTO Khairul Azry Bidin
Junaidi Ladjana


KEADAAN rumah di tingkat empat, Taman Telipok Ria, Tuaran, Kota Kinabalu yang dijadikan lokasi persembunyian suspek dengan menjadikan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan, petang semalam, kini sudah dibersihkan.

Tinjauan pagi tadi mendapati penghuni membersihkan kotoran di dalam rumah selain masih terdapat dua kesan tembakan di dinding dan lantai.

Penghuni rumah berkenaan, Kasman Rahim, 25, berkata sejak malam tadi sebaik polis selesai menjalankan siasatan, mereka sekeluarga bergotong-royong membersihkan rumah.

“Keadaan bilik bertabur manakala di bahagian dapur masih ada darah. Kami mengambil masa sejam untuk membersihkannya dengan bantuan jiran.

“Ada beberapa kerosakan di pintu, selain gelas pecah. Beras untuk bekalan kami dibuang oleh suspek,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian itu, bapa dan seorang lagi kakaknya berada di rumah manakala dia ada urusan di luar.

“Bapa saya ada beritahu supaya suspek tidak perlu berbuat demikian (mencederakan mangsa) kerana kasihan kepada kanak-kanak yang dijadikan tebusan. Tetapi dia tidak menghiraukan dan meminta supaya tidak mendekatinya,” katanya.

Sementara itu, penduduk di tingkat tiga, Marsilyn Abdul Musa, 24, berkata dia masih trauma dengan kejadian itu dan tidak dapat tidur dengan tenang.

“Selepas kejadian itu, kami sekeluarga berjaga sehingga pagi di luar rumah kerana tidak dapat tidur selain masih terbayang tindakan lelaki itu menjadikan mangsa sebagai tebusan. Rata-rata penghuni di sini berjaga sehingga lewat malam dan ada juga sehingga pagi,” katanya.

Mengenai kejadian itu, Marsilyn berkata, dia sedang tidur sebelum terjaga apabila terdengar jeritan ibu mangsa.

“Saya ingatkan ada orang bergaduh lalu bergegas ke tingkat empat dan terkejut apabila dimaklumkan anak sepupu saya dijadikan tebusan oleh seorang lelaki. “Saya sempat mengambil gambar dia sambil beberapa penghuni merayu supaya melepaskan kanak-kanak itu.

“Dia memegang kanak-kanak itu sambil meletakkan pisau di leher dan masuk ke dalam tandas” katanya sambil menambah beberapa jiran mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan dua tilam di bahagian bawah rumah kerana bimbang lelaki itu mencampakkan mangsa.

Berita berkaitan:

  • 'Saya tak pernah jumpa dia'
  • [UPDATE] 'Saya hanya mampu merayu
  • [UPDATE] Berakhirnya debaran 4 jam
  • Suspek culik budak dipercayai sakit mental
  • [UPDATE] Suspek jadikan budak tebusan ditembak mati
  • Budak perempuan 2 tahun jadi tebusan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 4:10 PM