Pendaftaran MyPPP dibatalkan berkuat kuasa hari ini.
Mohd Iskandar Ibrahim


JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran MyPPP berkuat kuasa hari ini.

Pembatalan itu dibuat Pendaftar Pertubuhan, Masyati Abang Ibrahim menerusi notis kepada parti berkenaan yang mana salinannya turut diserahkan kepada Tan Sri M Kayveas dan Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz.

Menurut notis itu, keputusan membatalkan pendaftaran MyPPP dibuat berikutan rayuan dikemukakan parti itu tidak menunjukkan sebab yang cukup di sebaliknya.

“Maka oleh itu, diperintahkan pendaftaran pertubuhan dibatalkan mulai dari tarikh ini,” menurut notis terbabit.

Bagaimanapun, berdasarkan Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966, pemegang jawatan atau anggota pertubuhan itu boleh merayu terhadap keputusan itu kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari daripada keputusan dikeluarkan.

Selain Kayveas dan Maglin Dennis, salinan notis itu turut diserahkan kepada Jabatan Insolvensi, Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

MyPPP sebelum ini berdepan krisis kepemimpinan apabila terdapat dua kem yang mendakwa menerajui parti berkenaan.

Satu kem diterajui Kayveas yang sebelum ini menyatakan sokongan parti itu kepada Pakatan Harapan selepas bertindak keluar Barisan Nasional (BN) susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Satu lagi kem diterajui Maglin Dennis yang mendakwa parti itu mesra kepada BN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 5:48 PM