Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBARANG isu kewangan dan pemberian wang membabitkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat beberapa hari lalu bagi membincangkan berhubung isu berkenaan.

“Isu membabitkan kewangan akan disiasat oleh SPRM. Polis hanya memberi tumpuan dan penekanan terhadap isu yang membabitkan keselamatan.

“Setakat ini, keseluruhan proses PRK (Cameron Highlands) berkenaan berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Datuk T Narenasagaran.

Pada majlis itu, Narenasagaran menyerahkan tugas kepada Datuk Nerita Yaacob yang menggantikannya berkuat kuasa esok.

Narenasagaran akan menjadi Ketua Polis Pulau Pinang menggantikan Datuk A Thaiveegan yang bersara wajib.

Mengulas lanjut, Muhammad Fuzi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung isu yang ditularkan.

“Buat masa ini kita (polis) akan terus memantau sehingga PRK itu tamat kelak,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan mana-mana pihak yang mempunyai bukti dan melihat secara langsung aktiviti politik wang ketika kempen PRK Cameron Highlands membuat laporan polis.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan gambar seorang wanita yang memakai baju berlogo PH memberi wang kepada beberapa pemuda yang memakai baju sama.

Bagaimanapun, PH menegaskan wang diagihkan dalam gambar yang tular di media sosial adalah pembayaran balik penampungan kos petrol kepada sukarelawan-sukarelawan mereka.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 7:52 PM
    MOHAMAD Fuzi (tengah) menyaksikan serah tugas antara Narenasagaran dan Nerita (kanan) di Bukit Aman, hari ini. Foto ASWADI ALIAS.