Mohd Iskandar Ibrahim


VIDEO memaparkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mempromosikan Pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 dengan menjadi ‘promoter’ menarik perhatian netizen di media sosial.

Video berdurasi dua minit yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi Loke itu memaparkan beliau mempromosikan pas perjalanan berkenaan ketika menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) sebelum transit pula dan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT).

Dalam video itu, Loke dilihat menaiki MRT di Stesen Kajang sebelum menaiki LRT di Pasar Seni menuju ke pejabat Prasarana Malaysia Berhad di Bangsar.

Sepanjang perjalanan itu, beliau mengedarkan risalah mengenai My100 dan My50 kepada penumpang, selain bertanya kepada mereka sama ada sudah mendapatkan pas berkenaan atau sebaliknya.

Kehadiran Loke juga menyebabkan penumpang teruja dan ada antara mereka yang mengambil kesempatan bergambar dan berswafoto dengan menteri berkenaan.

Video terbabit sehingga ditonton lebih 452,000 pengguna Facebook dan mendapat 4,184 perkongsian sejak ia dimuat naik pada Khamis lalu.

“Tahniah YB, Menteri yang paling baik! Saya harap YB dapat menaik taraf sistem KTM (Keretapi Tanah Melayu Berhad) juga,” kata pengguna Facebook, Muhammad Yusuf.

Seorang lagi pengguna Facebook, Muhd Izzat turut memuji Loke dengan memuat naik status perkongsian, “Terbaik YB Kami memerlukan lebih ramai menteri seperti YB yang memahami kehendak rakyat.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 9:31 PM
LOKE memuat naik video memaparkan beliau menjadi ‘promoter’ My100 dan My50