ANTARA barangan yang dirampas. FOTO Ihsan PPM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi merampas barangan runcit disyaki dibawa masuk dari Thailand bernilai RM1,800 berhampiran Jeti Pelancongan Tanjung Rhu, di Langkawi, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, pihaknya yang menjalankan Op Landai di kawasan pesisir pantai Tanjung Rhu menemui barangan runcit itu pada jam 7 malam yang ditinggalkan di dalam sebuah bot fiber rosak.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 230 bungkusan beras pulut, 60 bungkus berat pulut hitam, empat bungkus beras wangi dan 24 botol minuman kordial.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan itu tidak menemui pemilik sebenar barangan itu, malah setelah menunggu hampir dua jam tiada sesiapa yang datang menuntut barangan itu.

“Semua barangan kemudian dibawa balik ke PPM Wilayah Satu Langkawi untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rohizan berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut mengikut Seksyen 22 Akta Polis 1967 iaitu harta tidak dituntut.

“PPM akan terus menjalankan pemantauan di semua jeti persendirian atau laluan tidak sah bagi mengekang kegiatan penyeludupan barang kawalan serta kesalahan lain mengikut undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 9:52 AM