PEMANDANGAN pekan Tanah Rata ketika tinjauan Pilihan Raya Kecil Parlimen P.078 Cameron Highlands di Tanah Rata, Cameron Highlands. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Anwar Patho Rohman dan Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Haswan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah memberi wang untuk meraih undi rakyat.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kerajaan PH hanya menyediakan bantuan kewangan bagi membantu rakyat.

“PH tidak pernah bagi duit kepada sesiapa. Kalau sesuatu duit itu dah kerajaan punya, dia bagilah (bantuan kewangan). Itu semua orang dapat,” katanya selepas melancarkan silinder gas komposit gas petroleum cecair (LPG) keluaran Astana City Group Sdn Bhd, semalam.

Perdana Menteri mengulas mengenai gambar yang tersebar di media sosial wanita memakai baju PH didakwa mengagihkan wang kepada sekumpulan individu ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, kelmarin.

Kelmarin, Barisan Nasional (BN) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis berhubung penyebaran gambar wanita mengenakan kemeja-T yang memaparkan perkataan PH memberi wang kepada penduduk setempat.

Laporan itu dibuat bagi menggesa siasatan lebih lanjut dilakukan agensi itu, termasuk menyoal siasat individu yang terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Adnan Seman berkata, pemberian duit oleh BN ketika kempen pilihan raya tidak dibenarkan kerana dikira rasuah atau satu bentuk sogokan.

“Begitu juga dengan penggunaan aset, jentera atau kemudahan kerajaan untuk kepentingan parti dan kempen, hanya BN saja yang tidak boleh kerana ianya dianggap menyalah guna atau penyelewengan.

“Sebaliknya, tidak mengapa jika membabitkan PH kerana mereka ‘suci’,” katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau, semalam.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 11:46 AM