JENTOLAK yang ditemui di lokasi terbabit.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur:Guna khidmat dua ‘tonto’ untuk menjaga kawasan pembuangan sampah haram di Ladang Bukit Jalil Batu 6 1/2 Puchong, di sini.

Dua lelaki terbabit ditugaskan sebagai penunjuk arah kepada lori sampah yang datang ke kawasan itu.

Mereka bagaimanapun ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang melakukan operasi di kawasan itu kelmarin.

Dalam pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari itu, kedua-dua individu terbabit berusia 40-an sedang menunjuk arah kepada beberapa lori dan jentolak yang membuang sampah di kawasan berkenaan.

SAMPAH yang dibuang secara haram di Ladang Bukit Jalil Batu 6 1/2 Puchong, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan DBKL

Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL, Azman Mahmood berkata, pemeriksaan dilakukan pihaknya susulan aduan daripada orang awam berhubung kegiatan membuang sampah secara haram di kawasan berkenaan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, kami mendapati ada beberapa lori dan jentolak di kawasan itu sedang membuang sampah sambil diselia dua lelaki terbabit. Sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, ada pemandu lori memecut kenderaan keluar dari kawasan itu.

“Bagaimanapun, kami berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai berperanan sebagai ‘penunjuk arah’ kepada kenderaan yang datang ke lokasi terbabit untuk membuang sampah.

“Kami turut mengeluarkan notis kompaun kepada dua lelaki terbabit dan pemandu lori yang gagal melarikan diri dari lokasi terbabit,” katanya.

Azman berkata, kawasan itu sering dijadikan sebagai lokasi membuang sampah membabitkan sisa domestik secara haram oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab sejak beberapa tahun lalu.

“Kami sering membuat pemantauan berkala di lokasi ini. Namun, kawasan ini yang luas menyebabkan ia menjadi lokasi pilihan pihak terbabit membuang sampah secara haram sekali gus mengelak kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.

“Malah, kami pernah membuat pemeriksaan di kawasan itu baru-baru ini dalam usaha mengekang kegiatan terbabit, namun pihak berkenaan masih berdegil dan melanggar undang-undang dengan membuang sampah secara haram,” katanya.

“Ekoran itu, kami mengarahkan lokasi berkenaan ditutup serta merta dalam usaha mengekang kegiatan membuang sampah secara haram di kawasan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 12:19 PM