Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan : Lima individu termasuk tiga pegawai syarikat pengurusan air negeri ini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai RM23 juta.

Semua mereka itu berusia di antara 35 dan 51 tahun terbabit tiba di Mahkamah Majistret di sini, semalam pada jam 9.15 pagi selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Syarifah Nor Syuhada Tuan Mamat sehingga Khamis ini selepas membenarkan permohonan SPRM.

Semua mereka direman mengikut Seksyen 16 (b) (A) dan Sekyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Mereka ditahan antara jam 3.50 petang hingga 10.40 malam kelmarin selepas hadir ke Pejabat SPRM Pahang untuk diambil keterangan.

Semuanya ditahan selepas dipercayai bersekongkol dengan tujuh lagi individu yang ditahan pada Khamis lalu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan tiga pegawai kanan syarikat pengurusan air berkenaan untuk memonopoli projek pembekalan air di Pahang.


ANGGOTA SPRM membawa 12 individu termasuk CEO syarikat pengurusan air negeri untuk permohonan reman selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan salah guna kuasa projek bernilai RM23 juta di Kompleks Mahkamah, Indera Mahkota, semalam. FOTO Zulkepli Osman

SPRM turut mengemukakan permohonan sambung reman terhadap tujuh individu yang direman selama empat hari bermula Jumaat lalu kepada Syarifah Nor Syuhada yang kemudiannya membenarkan sambungan reman selama tiga hari lagi.

Semua mereka yang berusia 30-an hingga 60 tahun yang diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, Zamri Idrus dan Datuk Davis Yee Fei Churn disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Difahamkan, kegiatan pegawai kanan itu sudah berlaku sejak 2014 lagi dan sepanjang tempoh empat tahun kebelakangan ini, projek yang dikeluarkan badan negeri itu dimonopoli dan dikawal oleh seorang kontraktor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 12:35 PM