LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Muhammad Mustakim Ramli


NIAT Skuad Badar menjalankan kegiatan mencegah kemurkaan adalah baik, namun perlu bersama dengan pihak berkuasa kerana dikhuatiri tindakan mereka tidak menepati undang-undang.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu perlu memahami undang-undang kerana bimbang mereka tersalah melakukan jenayah.

“Kita takut silap... takut undang-undang jatuh balik kepada mereka dengan kesilapan itu menjadi jenayah.

“Kita takut kejar-kejar nanti (pesalah) mati, siapa hendak tanggung? Apabila ini terjadi mereka pula dipersalahkan nanti. Kalau tidak berdaftar, mereka tidak dilindungi undang-undang maka bertambah lagi kesalahan,” katanya ketika dihubungi NSTP dari Sungai Petani, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas penahanan Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad, kelmarin yang direman selama empat hari mulai semalam, selepas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) membuat laporan polis.

Nadzim berkata, Skuad Badar disaran menjalin kerjasama dengan JHEAIK demi kebaikan bersama khususnya dalam mencegah kemungkaran.

“Elok dijalankan bersama pihak berkuasa seperti jabatan agama ataupun polis. Jabatan agama perlu bertindak aktif untuk mengawal perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Rahim Jaafar, ketika ditanya mengenai status kes Presiden Skuad Badar itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya akan adakan sidang media dalam tempoh terdekat mengenai kes ini nanti,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 1:00 PM