RAKAMAN video yang menunjukkan lelaki yang juga pesakit mental bertindak agresif terhadap anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan di Jalan Bukit Bintang, Jumaat lalu. FOTO NSTP
RAKAMAN video yang menunjukkan lelaki yang juga pesakit mental bertindak agresif terhadap anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan di Jalan Bukit Bintang, Jumaat lalu. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI yang juga pesakit mental bertindak menendang anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan antara dua individu di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 11.45 malam itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sedang melakukan tugas rondaan di kawasan berkenaan.

Ketika sedang melakukan rondaan, pihaknya menerima maklumat berlaku pergaduhan antara dua individu di hadapan restoran.

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, apabila anggota terbabit tiba di lokasi kejadian, lelaki berkenaan bertindak agresif dengan menendang pagar besi di kawasan berkenaan.

“Anggota polis cuba menangkap lelaki berkenaan dan berlaku pergelutan hingga menyebabkan individu terbabit menendang anggota polis.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan berjaya ditahan dan ditenangkan oleh anggota polis,” katanya.

Sarifudin berkata, pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan adalah pesakit mental dan bergaduh dengan rakannya yang juga pesakit mental di kawasan berkenaan.

“Lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kemudian diberikan ubat penenang oleh doktor sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.

“Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis. Rakan lelaki terbabit pula enggan membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 1:26 PM