Farah Suhaidah Othman


POLIS menahan tiga Geng Tepung Susu termasuk dua beranak dipercayai terbabit dalam sembilan kes mencuri susu tepung di pasar raya serbaneka, serta merampas 218 kotak dan tin susu berkenaan bernilai RM20,000.

Wanita berusia 36 tahun, anak lelakinya berusia 15 tahun serta adik lelaki wanita itu berusia 19 tahun ditahan di banglo sewa di Taman Mengelembu Impiana Adril, Mengelembu, 11.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, serbuan dilakukan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat 86 kes membabitkan kecurian dalam bangunan di Ipoh sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek wanita mengaku melakukan sembilan kes mencuri susu tepung dalam pasar raya di sekitar bandar termasuk Sungai Senam, Lahat dan Bercham sejak tahun lalu.

Katanya, soal siasat terhadap suspek, geng terbabit menggunakan modus operandi dengan bantuan seorang lagi lelaki dipercayai rakan suspek wanita berkenaan yang masih dikesan oleh pihak polis.

“Lelaki terbabit akan memasuki pasar raya sebelum mengalihkan susu tepung ke satu tempat jauh daripada pemantauan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pasar raya berkenaan.

“Suspek lelaki itu kemudian akan membeli barang yang murah bagi menarik perhatian pekerja yang berada di kaunter sementara suspek wanita akan memasukkan tepung susu yang dikumpulkan ke dalam beg.

“Apabila keadaan terkawal, suspek wanita itu akan membawa keluar hasil barang curi terbabit sebelum melarikan diri menaiki kereta yang dinaiki adik dan anak lelaki suspek,” katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.


KETUA Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby (kiri) bersama Deputi Superintendan, Rasdi Ariffin (kanan) menunjukkan hasil rampas 218 kotak dan tin susu tepung yang dipercayai dicuri oleh tiga individu dikenali sebagai Geng Tepung Susu di rumah sewa di Taman Mengelembu Impiana Adril, Ipoh. FOTO L Manimaran

Mohd Ali berkata, siasatan lanjut mendapati suspek melakukan kegiatan itu secara berperingkat dan akan menyerahkan barangan curi itu kepada lelaki yang masih bebas untuk dijual.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis merampas 218 kotak dan tin susu tepung dianggarkan bernilai RM20,000 serta kereta Perodua Bezza dan telefon bimbit.

“Semakan mendapati suspek wanita terbabit mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes sama di Ipoh dan Nibong Tebal, Pulau Pinang tahun lalu.

“Adik suspek dan anak lelakinya bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Anak lelaki suspek juga tidak bersekolah,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman lima hari bermula semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 2:53 PM