WAN MOHAMAD menunjukkan sebahagian wang tunai yang sudah ditukar dari mata wang Yen kepada RM. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


WANG yang ditemui tanpa pemilik dan tidak dituntut oleh sesiapa perlu diserahkan kepada Baitulmal untuk kegunaan umum.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, sesiapa saja yang menemui wang sama ada di tepi jalan atau di mana-mana kawasan dan gagal mengesan pemilik, ia perlu diserahkan kepada jabatan agama.

Katanya, jika di Kelantan wang berkenaan perlu diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk diuruskan.

“Jika wang yang ditemui itu ada pemilik, cari tuannya dahulu. Sekiranya gagal mencari pemilik baru serahkan kepada Baitulmal.

“Tidak kira wang itu dari negara kita atau negara lain, ia tetap wang yang ditemui tanpa pemilik.

“Orang yang menemui tidak boleh menggunakan wang itu kerana ia bukan haknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan seorang penjual yang menemui wang tunai 550,000 yen atau lebih RM20,000 ketika membuka guni bundle yang dibelinya.

Penjual berkenaan, Wan Mohamad Adam Wan Mohamed, 29, menemui wang itu yang diletakkan dalam beg duit yang diselitkan di kot.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, wang yang ditemui tidak boleh digunakan untuk peribadi termasuk perniagaan.

Berita berkaitan

'Rezeki kot bundle [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 4:04 PM