(Gambar fail) Al-Sultan Abdullah (tengah) bersama putera-puteranya (dari kiri) Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin, Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Hassanal. FOTO Ihsan Istana Abdul Aziz
Abdul Razak Raaff dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
cnews@nstp.com.my


SULTAN Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah membayangkan perlantikan pewaris takhta baginda akan dilakukan mengikut tradisi.

Baginda bertitah, perkara itu bagaimanapun memerlukan kepada perbincangan antara ahli keluarga dan kerabat diraja terlebih dahulu.

“Waris ganti akan saya tentukan dalam masa terdekat, saya kena berbincang dengan pihak keluarga saya dan Insya-Allah saya percaya semua pun dah boleh ramal kalau ikut tradisinya. Cuma nak tetapkan dan meyakinkan kemudian kita boleh memutuskan waris takhta,” titahnya kepada media selepas Istiadat Pemasyhuran di Istana Abu Bakar, di Pekan, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, pengumuman pewaris takhta baginda iaitu Tengku Mahkota Pahang yang sebelum ini baginda memegang gelaran itu selama 44 tahun akan ditentukan dalam masa terdekat.

Mengikut tradisi, putera sulungnya yang juga Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah, 23, boleh dilantik sebagai Tengku Mahkota menggantikan ayahandanya, Al-Sultan Abdullah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang.

Ini kerana secara tradisi jawatan akan diserahkan kepada putera sulung pemerintah semasa.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah memaklumkan anakandanya iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kini sedang melanjutkan pelajaran di Akademi Ketenteraan Diraja di Sandhurst, United Kingdom (UK) selama setahun dan menyampaikan salam kepada semua.

Baginda juga mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan kepada semua termasuk pihak media yang membuat liputan istiadat pemasyhuran Sultan Pahang keenam, hari ini.

“Saya harap dapat tunaikan tugas dan amanah ini dengan sebaik mungkin dan saya akan beri segala raga, nyawa dan masa untuk Pahang. Sama-samalah kita berdoa semoga kita diberkati Allah SWT,” titahnya.

Sementara itu, ditanya mengenai kebarangkalian baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 selepas pemasyhuran sebagai Sultan Pahang, baginda bertitah, ia terletak kepada ketentuan Allah SWT dan menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan yang akan dibuat Majlis Raja-Raja.

Al-Sultan Abdullah bagaimanapun yakin mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang dijangka diadakan pada 24 Januari ini akan membuat keputusan yang tepat dan bijaksana.

“Ia soalan yang sukar kepada saya, saya tidak boleh membuat kesimpulan, saya serahkan kepada keputusan Majlis Raja-Raja,” titahnya.

Ditanya mengenai kesediaan baginda bekerjasama dengan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH), baginda bertitah beliau bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

“Saya sebagai pemerintah sesiapa sahaja yang boleh datang berjumpa saya dan sedia berkhidmat dan bekerjasama,” titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 5:44 PM