Motosikal dinaiki Mohamed Saphi (gambar kecil) yang terbabit kemalangan di FELDA Jengka 8, Maran. FOTO Ihsan Polis
Shahrinnahar Latib


WARGA emas maut selepas motosikal dinaikinya dirempuh pacuan empat roda di FELDA Jengka 8, Maran, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi, Mohamed Saphi Sarfi, 77, mati di tempat kejadian akibat parah pada kepala.

Lelaki berusia 47 tahun yang juga pemandu pacuan empat roda Toyota Fortuner tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, ketika kemalangan, Toyota Fortuner itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Sungai Tekam, Jerantut.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian pemandu pacuan empat roda itu gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar belakang motosikal dinaiki mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa diseret kenderaan berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.

Norzamri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat, manakala pemandu Toyota Fortuner itu ditahan untuk membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 8:41 PM