MUHAMMAD Rafique Rashid Ali. FOTO Arkib NSTP.
Meor Riduwan Meor Ahmad


SEMUA pihak dinasihati tidak cepat melatah berhubung isu pemberian ‘duit minyak’ didakwa berlaku ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, baru-baru ini.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata mereka perlu menunggu sehingga proses pengundian selesai dan keputusan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta menggunakan saluran undang-undang jika tidak berpuas hati mengenainya.

“Jangan cepat melatah. Pertamanya, sebab kita ada undang-undang yang amat jelas mengenai definisi rasuah dan perbelanjaan di dalam Seksyen 10 dan Seksyen 16 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kalau mana-mana pihak tidak berpuas hati, sabar dulu, habiskan proses pengundian dulu secara demokrasi sebab kita tidak boleh halang hak pengundi Cameron Highlands untuk mengundi.

“Pengundian kena selesai dulu, tunggu keputusan keluar baru boleh persoalkan di mahkamah,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pelbagai pihak kononnya berlaku rasuah susulan penularan gambar pengedaran wang oleh sekumpulan individu di Cameron Highlands dan menggesa siasatan dilakukan pihak berkuasa.

Isu terbabit turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan hakim yang membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional di Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mengkategorikan duit minyak sebagai rasuah.

Muhammad Rafique berkata, mengikut Seksyen 10 akta terbabit, mana-mana pemberian hadiah atau wang atau apa-apa saja yang boleh dikatakan sebagai membeli atau memujuk undi adalah dikategorikan sebagai rasuah.

“Seksyen 16, akta sama pula mengkategorikan perbelanjaan atau mana-mana jumlah untuk menguruskan pilihan raya adalah dibenarkan.

“Ia memberi kuasa kepada calon, wakil atau ejen mereka untuk mendokumentasikan sebarang pemberian wang untuk perbelanjaan.

“Sebabnya selepas tempoh 28 hari keputusan pilihan raya itu diwartakan, semua calon mestilah memasukkan dokumen penyata perbelanjaan bagi menunjukkan berapa kos digunakan mereka.

“Jadi, kalau nak kategorikan duit minyak, duit rokok sebagai rasuah, itu harus dibuktikan dalam satu petisyen pilihan raya yang perlu difailkan selepas keputusan pilihan raya itu diumumkan,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak boleh meneruskan untuk membuat laporan jika mengesyaki berlaku rasuah dan hanya mahkamah berkuasa membuat keputusan.

“Jika mahkamah merasakan dengan pemberian itulah mana-mana calon terbabit menang, tidak kisah calon PH (Pakatan Harapan), BN atau Bebas itu boleh menyebabkan kemenangan itu dibatalkan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Najib, Muhammad Rafique berpendapat, Ahli Parlimen Pekan itu mungkin tersalah arah apabila mengatakan pemberian duit minyak adalah rasuah.

“Jika nak beri komen mengenai penghakiman kena baca keseluruhan tanpa memetik di sini dan sana dan buat kesimpulan sendiri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 9:40 PM