Skip this ad x
DATUK Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini. Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Suhaila Shahrul Annuar


KEMENTERIAN Kesihatan membatalkan lesen Mawar Medical Centre di Seremban, Negeri Sembilan berkuat kuasa serta merta kerana melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berikutan itu pusat perubatan terbabit perlu mengembalikan lesen dan memberhentikan operasi dengan serta merta berkuat kuasa, hari ini.

Katanya, pada 12 November tahun lalu, Menteri Kesihatan membuat siaran akhbar dan pada tarikh sama Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan notis tunjuk sebab untuk membatalkan lesen Mawar Medical Centre.

“Susulan itu, Mawar Medical Centre mengemukakan representasi terhadap notis yang berkenaan.

“Bagaimanapun, pihak Mawar Medical Centre gagal mengemukakan penjelasan dan bukti bahawa mereka tidak melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

“Oleh itu, representasi yang dikemukakan itu tidak dapat dipertimbangkan. Susulan itu, Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan surat pada 14 Disember tahun lalu bagi tujuan pembatalan lesen Mawar Medical Centre,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, pihak hospital berkenaan mengemukakan rayuan mengikut Subseksyen 49(2), Akta 586 bertarikh 20 Disember lalu.

“Bagaimanapun, berdasarkan dokumen sokongan yang dikemukakan, Pusat Hemodialisis Mawar sudah menyerahkan kepada sebuah syarikat lain untuk menyelia, mengarah, mengawal semua aspek berkaitan pusat itu yang jelas menunjukkan bahawa Pusat Hemodialisis Mawar bukan lagi pihak yang menjalankan dan menyediakan perkhidmatan di bawah Akta 586.

“Oleh itu, rayuan berkenaan tidak dapat dipertimbangkan dan surat pengesahan pembatalan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Kesihatan pada hari ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, selaras dengan ketetapan Peraturan 320(c), Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006, menjadi tanggungjawab Pusat Hemodialisis Mawar sebagai pemegang lesen untuk memastikan kesinambungan rawatan hemodialisis bagi setiap pesakit di Unit Hemodialisis Mawar Medical Centre sedia ada.

“Tanggungjawab itu turut meliputi keperluan pemindahan pesakit ke pusat hemodialisis lain serta pengurusan bantuan kewangan dan subsidi rawatan yang diterima pesakit-pesakit ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 10:22 PM