BOT nelayan yang ditahan anggota Maritim Malaysia. FOTO Ihsan Maritim.
Petah Wazzan Iskandar


TIGA nelayan sanggup terjun ke laut selepas kegiatan mereka menangkap ikan secara haram dikesan bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan berdekatan Kuala Dulang Kecil, Yan, awal pagi ini.

Kejadian jam 1.40 pagi itu, bot nelayan yang dipercayai menggunakan pukat rawa surong bagi menangkap ikan pada jarak 0.3 batu nautika barat Kuala Dulang Kecil.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad, berkata nelayan terbabit dipercayai ketakutan ketika melihat bot peronda menghampiri mereka sebelum cuba melarikan diri.

Beliau berkata, nelayan terbabit cuba membawa bot mereka ke kawasan cetek sebelum terjun ke laut dan berenang ke arah pantai.

“Nelayan terbabit kemudian bertindak melarikan diri ke kawasan hutan, namun kita dapat merampas bot dan peralatan menangkap ikan bernilai RM35,000 yang ditinggalkan mereka.

“Bot dan peralatan berkenaan kemudian dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahmad Faizal berkata, penggunaan pukat rawa surong adalah diharamkan kerana ia menjejaskan ekosistem hidupan laut berikutan saiz mata pukat yang tidak dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 11:06 PM