Skip this ad x
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


PUSAT Perubatan Mawar (PPM) dan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) di Seremban kini dalam proses mendapatkan lesen baharu berikutan pertukaran pengurusan.

Perunding Penjagaan Kesihatan SendiHartamas Sdn Bhd, Kamaljeet Singh berkata, pengurusan baharu PPM ketika ini adalah SendiHartamas iaitu anak syarikat milik penuh Intelek Ceria Sdn Bhd.

Katanya, syarikat itu kini dalam proses permohonan mendapatkan lesen baharu selepas mendapat nasihat daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAP) berikutan pertukaran pihak pengurusan.

“Syarikat akur dan tiada masalah berbuat demikian dan berharap Kementerian Kesihatan dapat meluluskan segera permohonan ini bagi membolehkan hospital beroperasi seperti biasa.

“Ketika ini juga sudah ramai pesakit menghubungi doktor masing-masing bertanyakan mengenai operasi hospital kerana perlu mendapatkan rawatan,” katanya pada sidang media di PPM, Seremban, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamaljeet berkata, walaupun operasi hospital itu terpaksa dihentikan, tetapi seramai 516 pekerja termasuk doktor masih bertugas seperti biasa sejak November lalu.

Katanya, daripada 11 pakar perubatan yang berhenti sebelum ini, lapan daripada mereka bersetuju untuk bertugas semula di hospital itu.

“Saya berharap pengurusan baharu ini akan mengubah cara operasi hospital kepada lebih baik seterusnya memberi lebih manfaat kepada pesakit yang mendapatkan rawatan.

“Selain itu selepas hospital ini mendapat lesen, kami juga akan menukar nama kepada Pusat Perubatan Putra Mawar,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) berhasrat mengambil alih PPM dan PHM sebagai sebuah hospital rakyat milik penuh kerajaan negeri, yang bukan bermatlamatkan keuntungan semata-mata, sebaliknya membantu masyarakat.

Bagaimanapun, kerajaan negeri terpaksa membatalkan hasrat berikutan tawaran harga yang disifatkan tidak konsisten dan munasabah.

Berita berkaitan

Lesen Mawar Medical Centre dibatalkan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 11:31 PM