Suhaila Shahrul Annuar

Putrajaya: Tiada kes positif rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Taiping, Perak setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dua mangsa yang digigit anjing positif rabies di Taiping pada 25 Disember tahun lalu tidak menunjukkan gejala penyakit itu.

“Kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sedang dilakukan untuk pelaksanaan aktiviti kawalan serta pencegahan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kelmarin, mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Perak diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies atau anjing gila berikutan empat sampel diambil di kawasan itu mendapati ianya positif wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, dalam satu kenyataan berkata, ujian dilakukan pihak JPV selepas menerima maklumat pengadu dari Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping, 31 Disember tahun lalu.

Pengadu berkenaan melaporkan bahawa dua ahli keluarganya digigit oleh seekor anjing miliknya pada 25 Disember dan anjing itu sudah dilupuskan oleh pengadu pada 3 Januari lalu.


DR Dzulkefly ketika sidang media dan turut bersama timbalannya Dr. Lee Boon Chye di Kementerian Kesihatan. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Pada 4 Januari lalu, sampel otak daripada anjing itu diuji dan disahkan positif terhadap penyakit rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh.

Dalam pada itu, berhubung wabak Chikungunya, Dr Dzulkefly berkata, pemantauan di pintu masuk antarabangsa antara Malaysia Thailand, Singapura dan Indonesia diperkukuhkan dengan kaedah saringan suhu badan untuk mengesan kes disyaki Chikungunya daripada pelawat yang memasuki Malaysia.

Berhubung cadangan memperluaskan larangan merokok di pejabat atau tempat kerja, beliau berkata, kementerian terbuka untuk menimbang pelbagai cadangan ke arah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 10:10 AM