LAPORAN portal Harian Metro
Skuad Khas Harian Metro


“PERKARA seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana anggota yang bertugas menggadaikan nyawa membantu masyarakat.

“Perlu ada pemantauan khusus kepada semua badan beruniform agar mereka diberikan kemudahan dengan spesifikasi tinggi, sesuai dengan pengorbanan ketika bertugas,” kata Senator Datuk Dr S Ananthan.

Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai kes penyelewengan baju kali api Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bernilai RM13.5 juta.

Katanya, amalan tidak profesional itu ibarat bom jangka yang boleh mendatangkan mudarat kepada anggota bomba kerana mereka bertugas tidak kira masa.

“Berdasarkan laporan, tidak ada pembelian baru sejak 2017, bermakna anggota bomba guna baju kalis api yang sudah lama dan usang.

“Berapa banyak operasi memadam kebakaran yang mereka jalankan dan bayangkan bagaimana ia cukup berisiko. Itu baru baju kalis api, belum lagi peralatan lain seperti kasut, topi, sarung tangan dan penutup muka.

“Saya minta kerajaan dan kementerian terbabit semak dengan teliti serta ambil tindakan segera, jangan hanya berjanji tetapi tiada tindakan diambil bagi selesaikan masalah itu,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, sembilan Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara dianggap berdepan masalah kekurangan baju kalis api yang kritikal berikutan tiada pembelian baharu dibuat sejak 2017.

Ini menyebabkan anggota di balai berkenaan dikatakan terpaksa menggunakan baju kalis api ‘usang’ yang koyak ataupun berkongsi baju sama dengan rakan lain yang tidak bertugas jika berlaku kebakaran.

Lebih memburukkan keadaan, pembelian 6,000 baju kalis api bernilai RM13.5 juta pada 2016 dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas kontraktor dilantik JBPM membekalkan pakaian yang dihasilkan daripada plastik yang merisikokan nyawa penggunanya walaupun baju itu bernilai RM2,400 hingga RM2,500 sepasang.

Berita berkaitan

'[UPDATE] 'Perisai' lusuh bakal berganti...

'Siasatan penyelewengan baju bomba hampir selesai

'Sekatan' ganti perisai lusuh

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 10:28 AM