Skip this ad x
Mohd Hafizee Mohd Arop


DUA pegawai kanan FELDA direman selama lima hari untuk membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dibuat bagi kerja-kerja pembinaan tembok penahan tanah runtuh di FELDA Trolak Selatan, Sungkai.

Kedua-dua mereka iaitu penolong pengarah di Ibu Pejabat FELDA dan pegawai kanan FELDA Trolak itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini untuk permohonan reman.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 39 dan 33 tahun itu tiba dengan berpakaian lokap SPRM 11 pagi sebelum Majistret, Siti Hanum Mohmad Sah membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman kedua-dua suspek selama lima hari.


DUA pegawai kanan FELDA direman oleh Mahkamah Majistret Ipoh selama lima hari untuk membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dibuat bagi kerja-kerja pembinaan tembok penahan tanah runtuh di FELDA Trolak Selatan, Sungkai. FOTO Effendy Rashid

Semalam NSTP melaporkan, dua suspek kes sama iaitu kontrakror dan eksekutif teknikal syarikat pengurusan hartanah yang dilantik oleh FELDA bagi memantau projek sudah direman selama empat hari.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus dilaporkan berkata kesemua empat suspek yang ditahan adalah untuk membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bagi bayaran kerja-kerja pembinaan dan bersubahat memperakukan kerja-kerja membina tembok penahan runtuhan rumah peneroka FELDA Trolak Selatan.

“Tuntutan palsu ini dibuat sedangkan kerja-kerja yang dibuat tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tender bernilai RM137,900.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 1:14 PM