GAMBAR hiasan.


“MANA boleh bebankan rakyat,” kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkenaan isu tarif air berikutan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air negara.

Beliau bagaimanapun berkata, rakyat kena faham, untuk mendapatkan air bersih sudah tentu membabitkan perbelanjaan.

“Sekarang saya nak bawa semua bersama untuk maju ke depan, untuk rakyat yang akan dapat manfaat dengan air bersih untuk diminum.

“Air ini penting. Kalau tak ada air, semua mengadu pada saya. Kita nak kerjasama untuk ini, untuk dapatkan air.

“Pada masa sama kita kena faham. Kita nak dapatkan air bersih kepada semua kawasan dan penduduk, kita mesti ada perbelanjaan. Ini satu industri yang mana rakyat perlu memainkan peranan juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Tandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Indah Water Konsortium (IWK) di FRIM, Kepong, hari ini.

Mengulas lanjut isu itu, Xavier berkata, hanya tiga negeri Pantai Timur tidak bersetuju dengan perancangan itu dan akan berbincang lanjut.

Menyentuh kenaikan tarif 20 peratus di Pulau Pinang katanya, ia boleh diturunkan sekiranya kenaikan pada kadar itu membebankan.

“Kalau 20 peratus sangat tinggi, kita boleh turunkan sikit. Itupun kita boleh buat,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai cadangan menggabungkan bil air dan IWK bagi menyelesaikan isu bil agensi itu, katanya, sudah ada kejayaan daripada gabungan itu di Labuan.

“Kita nampak di Labuan sekarang kutipan hasil juga meningkat sampai 93 peratus dan tak ada masalah untuk penduduk buat bayaran bagi kedua-dua bil sekali,” katanya.

Menurutnya, walaupun ketika ini kutipan IWK sudah cecah 93 peratus, ia masih tidak mencukupi untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan selain masih bergantung kepada subsidi kerajaan hampir RM150 setahun.

“Kita tidak boleh teruskan dengan sokongan sebesar-besar macam ini. Kena cari (jalan) macam mana kita nak selesaikan isu IWK dan rakyat kena faham IWK ini satu agensi yang penting. Sebab itukan dicadangkan bil disekalikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 2:40 PM