NORSHAFIZAWATI bersama suami di dangau yang didirikan daripada kayu, plastik khemah dan guni. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


“BIARPUN hujan lebat di tengah malam, saya dan suami tetap tidur di dangau ini kerana tiada pilihan dan terpaksa membiarkan badan terkena tempias air hujan,”

Itu kata Norshafizawati Shaari, 33, yang terpaksa menjadikan dangau dibina dari kayu, guni dan plastik sampah sebagai tempatnya berteduh bersama suami Mohd Ridzuan Ismail, 36, dan anak-anaknya.

Lebih memilukan, anak kelimanya yang baru berusia 15 hari turut terpaksa tinggal di dalam dangau serba daif itu akibat kesempitan hidup dialami mereka.

Norshafizawati berkata, dia mengharungi keadaan itu sejak Mac tahun lalu apabila mengambil keputusan untuk tidak mahu lagi menumpang di rumah ibu saudara mereka.

“Saya mempunyai lima anak dan masih berpantang, kami berpindah di dangau ini Mac tahun lalu... keluarga saya tidak mempunyai rumah, ibu bapa saya juga menumpang di rumah ibu saudara yang terletak berdekatan dangau kami bina.

“Rumah itu sudah terlalu ramai, sudah lebih 10 orang tinggal di rumah itu, jadi lebih baik kami mengalah dan tinggal di dangau ini.

“Walaupun ada nyamuk dan terdedah dengan binatang berbisa seperti ular dan kala jengking, kami tidak mempunyai pilihan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pecah Gadong, di Kuala Nerang, hari ini.

Tinjauan di dangau yang dibina di bawah pohon macang itu mendapati terdapat tilam dan bantal lusuh untuk tidur, bagaimanapun tiada kemudahan elektrik atau ruang dapur serta bilik air.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, dia tidak mampu membina rumah untuk keselesaan lima orang anaknya berikutan hanya mengambil upah menoreh getah dan menjual ulam-ulaman dengan pendapatan antara RM400 hingga RM600 sebulan.

Katanya, anak sulung dan anak keduanya Nur Lailaezzla, 13, dan Nurin Elyana, 12 dihantar ke Asrama Anak Yatim dan Miskin Baitul Ihsan, Kampung Perit, sejak tiga tahun lalu.

“Anak ketiga Nur Farhiyatul Anis, 10, dan anak bongsu kami, Puteri Karissya Amara, 15 hari, tidur bersama ibu mentua di dalam rumah, manakala anak ke empat, Nur Emellda Citra, 6, tidur bersama kami di dangau.

“Kami akan menumpang makan di rumah ibu saudara, dan kami hanya akan masak air dan mi segera sahaja menggunakan kayu api di dangau ini,” katanya.

Ridzuan berkata, dia sangat mengharapkan bantuan rumah kerana tidak sanggup melihat lagi isteri dan anak tidur dalam kesejukan.

Katanya, dia ada menerima bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM400 setahun untuk tiga orang anaknya yang bersekolah.

“Saya cuma nak rumah, saya memang tak mampu nak dirikan sebuah rumah yang sempurna untuk anak-anak dan isteri, sampai bila kami nak hidup di dangau ini, ia boleh tumbang bila-bila masa saja jika angin kencang,” katanya.

Bagi orang ramai yang ingin membantu Mohd Ridzuan, boleh menghubunginya di talian 013-8973640 atau menerusi nombor akaun Maybank (152095735724).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 4:00 PM