Norrasyidah Arshad

BEKAS Ahli Parlimen UMNO yang mahu menyertai semula parti itu tidak akan mendapat sebarang layanan istimewa.

Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang sudah berpaling tadah itu perlu mengikut peraturan dan proses tertentu sekiranya mahu menyertai UMNO kembali.

“UMNO adalah sebuah parti Melayu dan Bumiputera yang mana sesiapa sahaja berhak menyertainya.

“Mereka (yang sudah keluar) perlu membuat permohonan semula dan Jawatankuasa Disiplin akan membawa perkara ini ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO sebelum diputuskan oleh Majlis Tertinggi.

“Buat masa ini, kita tidak menerima sebarang permohonan lagi. Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor juga, saya tidak menerima panggilan telefon daripada Ahli Parlimen Sabak Bernam( Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh,” katanya kepada NSTP,hari ini.

Semalam, NSTP melaporkan enam Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan keluar UMNO bulan lalu dijangka akan memohon kembali sebagai ahli parti itu.

Difahamkan, mereka kembali semula ke dalam UMNO kerana menerima tekanan undang-undang berikutan tindakan saman terhadap mereka di buat akhir bulan lalu.

Mengulas berkenaan perkara itu, Ismail berkata perkara itu tidak perlu dipertikaikan memandangkan semua mereka sedia maklum berhubung tindakan itu jika keluar daripada parti.

“Kita sudah putuskan perkara ini ketika Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar parti.

“Semua ahli mengetahui bahawa sekiranya keluar daripada parti, mereka akan berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fasiah ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen berhubung dakwaan itu.

“Okay. Tiada komen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 4:40 PM