PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua memeriksa CCTV digunakan sindiket penyeludup. FOTO Ihsan Polis Marin.
Oleh Ibrahim Isa


SINDIKET penyeludupan rokok, minuman keras dan migran kini menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) secara dalam talian yang diletakkan di atas pokok bagi memantau kawasan pendaratan mereka sekitar Pantai Timur Johor, sekali gus mengelak kehadiran pihak berkuasa.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya mengesan penggunaan peralatan canggih itu apabila melakukan serbuan di beberapa lokasi di Pantai Timur Johor.

“Hasil pemeriksaan kami mendapati, sindiket berkenaan akan meletak CCTV di atas pokok dan ia memaparkan video secara langsung menerusi Internet seperti yang digunakan di pejabat atau di rumah.

“Kami percaya mereka menggunakan peralatan canggih itu sejak tahun lalu dan pada masa sama, masih menggunakan khidmat tonto untuk memantau pergerakan pihak berkuasa.

“Berikutan itu, bagi menambah baik dan meningkatkan prestasi PPM, kita perlu memperkasakan Bahagian Risikan. Ketika ini, pegawai bahagian berkenaan terbeban dengan tugasan lain dan ia perlu diasingkan,” katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah 2, di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, buat masa ini nama pegawai yang akan diserapkan bagi memperkasakan bahagian risikan sudah dipilih dan mereka akan menjalani kursus selama beberapa bulan untuk menambah kemahiran.

Katanya, latihan secara dalaman itu akan diadakan bersama Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebelum memulakan tugas masing-masing di lokasi yang akan ditentukan kelak.

“Kami akan adakan pertukaran pegawai dan anggota bagi menempatkan bahagian risikan di beberapa kawasan tumpuan. Ini kerana, rondaan tanpa maklumat tepat sukar membuahkan hasil kerana sindiket mempunyai cara untuk mengelak daripada bertembung dengan kami.

“Selain itu, di Johor misalnya, mempunyai dua kawasan perairan di barat dan timur yang bersempadan dengan negara jiran pada jarak yang luas, jadi cara konvensional seperti rondaan bertujuan mencegah tidak mampu menghalang mereka dari menyeludup bahan atau migran ke negara ini.

“Itu sebabnya kita perlu memperkasakan bahagian risikan bagi membolehkan kami melakukan serbuan tepat pada masanya kerana kawasan pantai terutama di Pantai Timur Johor bukan sahaja luas, malah berpasir dan tiada batu membolehkan mereka terus mendarat di pantai,” katanya.

Menurutnya, bentuk muka bumi pantai timur Johor yang tiada batu, membolehkan mereka mendarat di pantai berhampiran jalan raya dan terus memindahkan barang ke dalam kenderaan darat dan beredar.

Bagaimanapun, berdasarkan kejayaan dicatat PPM Wilayah 2 sejak kebelakangan ini, beliau yakin PPM mampu menjalankan tugas dengan berkesan terutama selepas bahagian risikan diperkasakan kelak.

Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua memeriksa Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi memantau sama ada kawasan mendarat di sekitar Pantai Timur Johor yang di letak di atas pokok dan ia memaparkan video secara langsung menerusi internet sepertimana digunakan di pejabat atau di rumah. NSTP/IHSAN POLIS MARIN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 5:16 PM