Mohamed Basyir
m.basyir@nst.com.my

 

GEORGETOWN: Bekas kapten skuad bola sepak Pulau Pinang, Abd Aziz Azizan, yang dimasukkan ke hospital selepas jatuh sakit ketika perlawanan persahabatan veteran, di sini, Ahad lalu, meninggal dunia, hari ini.

Ia disahkan jurucakap Persatuan Bolasepak Pulau Pinang menerusi kenyataan di laman Facebook mereka.

"Dia meninggal dunia kira-kira jam 5.10 petang ini. Jenazahnya akan dibawa ke Bagan Lebai Tahir, Teluk Air Tawar, Butterworth," kata kenyataan berkenaan.

Abd Aziz, 54, tiba-tiba jatuh sakit ketika perlawanan dan hampir pengsan pada petang Ahad lalu dan dia segera dikejarkan dengan ambulan ke Hospital Balik Pulau dan didapati tekanan darahnya tinggi.

Walaupun masih sedar ketika dimasukkan ke hospital, Abd Aziz mengalami koma pada pagi Isnin sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang dan diberikan alatan sokongan sebelum disahkan meninggal dunia hari ini.

Abd Aziz ialah kapten skuad Harimau Kumbang pada sekitar 1990-an dan bermain buat Selangor serta Kedah selain pasukan kebangsaan.

Sebelum ini, pemain veteran Ali Bakar meninggal dunia di Singapura ketika saingan veteran Piala Emas Raja-Raja pada Ogos 2003.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 6:30 PM