PEMANDU kereta yang cuba melarikan diri. (Gambar kanan) Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN seorang lelaki cuba melarikan diri selepas merempuh beberapa kereta dan motosikal di Kilometer 13.4 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menghala ke Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini, gagal selepas dia ditahan orang ramai.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, difahamkan tiga kenderaan termasuk dua motosikal terbabit dalam kemalangan itu.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dikatakan dipandu laju sebelum hilang kawalan lalu merempuh kenderaan lain yang berada di laluan berkenaan.

Difahamkan lelaki itu cuba melarikan diri sejurus selepas kemalangan, namun ditahan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Malah, lelaki itu cuba terjun dari jejambat untuk melarikan diri, namun gagal sebelum dia diserahkan kepada pihak polis peronda.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.20 tengah hari tadi.

“Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan dua motosikal yang dilanggar dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Nordin berkata, pemandu kereta terbabit cedera selepas dibelasah orang awam yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu cuba melarikan diri selepas memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan.

“Tiga mangsa termasuk seorang pembonceng motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami cedera ringan.

“Mereka dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 6:50 PM