MOHD Shaid menunjukkan baju kurung yang disumbangkan kepada murid, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli yang dikecam netizen selepas gambar penyerahan beg sekolah memaparkan wajahnya tersebar melalui media sosial, baru-baru ini, sekali lagi mencetuskan kontroversi.

Kali ini, beliau menyumbangkan pakaian tertulis jenama ‘YB Shaid Rosli’ pada kolar 10,000 helai pakaian seragam ke sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram.

Mohd Shaid berkata, pakaian seragam sekolah itu adalah sumbangan ikhlasnya bagi membantu murid dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan.

“Baju ini disediakan khas dengan jenama saya sendiri, ‘YB Shaid Rosli’ yang tertulis pada kolar baju.

“Mengikut perancangan asal, pakaian sekolah ini sepatutnya dibekalkan sebelum sesi persekolahan dibuka, namun ia mengalami kelewatan dari pihak pengedar.

“Alhamdulillah, pagi ini saya menyerahkan sumbangan pakaian sekolah ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 3 iaitu sebanyak 1,600 helai. Jumlah keseluruhan yang akan kita edarkan di semua sekolah di DUN ini adalah 10,000 helai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, terdapat 10 buah sekolah rendah akan menerima sumbangan baju kemeja untuk murid lelaki dan baju kurung bagi murid perempuan.

“Sebelum ini saya mengedarkan beg sekolah kepada murid di DUN Jeram sehingga bantuan ikhlas itu menjadi bahan yang dipolemikkan di media sosial.

“Beg sekolah sebelum ini diberikan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina di DUN Jeram bertujuan membantu ibu bapa meringankan beban persekolahan anak mereka.

“Saya menyedari penduduk di DUN ini tidak semuanya senang dan mempunyai pendapatan mencukupi. Jadi, bantuan yang kita serahkan ini diharap dapat mengurangkan beban mereka terutama yang datang dari keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 8:20 PM