BANGUNAN Tabung Haji di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Mohd Anwar Patho Rohman

LEMBAGA Tabung Haji (TH) hari ini membuat laporan polis selepas ‘menemui’ angka tidak tepat di dalam dua Kertas Kerja Eksekutif yang dibentangkan kepada Lembaga Pengarah pada 6 dan 9 Februari tahun lalu.

Dalam kenyataan medianya, TH menjelaskan, akibat kewujudan angka tidak tepat dalam kertas kerja berkenaan, ia menyebabkan pengumuman bayaran hibah kepada pendeposit bagi tahun 2017 bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995.

Menerusi kenyataan itu, TH mendakwa Kertas Kerja Eksekutif terbabit mengandungi kenyataan dan dapatan yang menjurus ke arah ‘angka tidak tepat’ pada penyata kewangan TH bagi tahun 2017, yang diterima Lembaga Pengarah.

“Kertas Kerja Eksekutif itu disediakan oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), Datuk Rozaida Omar dan disokong Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Johan Abdullah.

“Berdasarkan kepada penyata kewangan berkenaan, Lembaga Pengarah TH mencadangkan kepada menteri yang bertanggungjawab, yang kemudiannya meluluskan pengumuman hibah yang boleh diagihkan untuk tahun kewangan 2017 iaitu 4.5 peratus untuk Hibah Tahunan dan 1.75 peratus bagi Hibah Haji,” kata kenyataan itu.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf mendedahkan pemberian hibah kepada pendeposit TH bagi tahun 2017 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Hasil siasatan dan audit oleh syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC), mendapati akaun TH yang diaudit berakhir 31 Disember 2017 merekodkan aset keseluruhan RM70.3 bilion, sedangkan liabiliti ialah RM74.4 bilion, menunjukkan defisiti sebanyak RM4.1 bilion.

Menurut Seksyen 22(3)(a) Akta Tabung Haji, pemberian hibah perlu memenuhi dua syarat utama iaitu aset TH perlu melebihi liabiliti manakala agensi perlu menjana keuntungan terlebih dahulu.

Berikutan pendedahan itu, Kabinet bersetuju pengurusan baharu TH mewujudkan Special Purpose Vehicle (SPV) untuk memulihkan kedudukan kewangan agensi terbabit.

TH berkata, audit penyata kewangan TH bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 ditandatangani pada 3 April 2018 oleh Pengerusinya ketika itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Johan bagi pihak Lembaga TH dan Rozaida sebagai pegawai utama bertanggungjawab ke atas pengurusan kewangan dan rekod perakaunan TH.

“Laporan polis hari ini adalah yang ketiga dibuat oleh Pengurusan dan Lembaga Pengarah baharu, yang menjalankan kajian holistik terhadap kedudukan kewangan TH, selepas pelantikan mereka pada Julai 2018,” menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 8:56 PM