KERJA-KERJA pembersihan sedang dilaksanakan oleh pihak Alam Flora di kawasan pembuangan sampah haram di Kampung Bukit Setongkol di Kuantan. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


SIKAP tidak bertanggungjawab sesetengah pihak membuang sampah di laluan terpencil di Kampung Bukit Setongkol di Kuantan, meresahkan penduduk berikutan bukan sahaja berbau busuk, malah menjelikkan persekitaran.

Longgokan sampah seperti botol plastik dan sisa makanan yang bertaburan di kawasan semak tepi jalan berkenaan mengundang kehadiran haiwan liar seperti anjing dan babi hutan untuk mencari makan di situ.

Penduduk, Tan Chin Khoon, 44, mendakwa, tempat pembuangan sampah haram itu wujud sejak tiga tahun lalu dan jumlah sampah semakin hari semakin bertambah walaupun sudah beberapa kali dibersihkan oleh pihak berwajib.

“Apabila ada orang yang mula membuang sampah di situ, maka akan ada orang lain yang akan ikut perangai sama tanpa memikirkan kesan buruk akibat sikap tidak bertanggungjawab mereka.

“Memang nampak remeh tetapi jika tidak dibendung, dikhuatiri perbuatan sebegini akan melarat dan menyebabkan lebih banyak longgokan sampah haram akan wujud.

“Memang jalan ini kurang kenderaan lalu dan mungkin sebab itu orang boleh sesuka hati buang sampah kerana orang lain tidak nampak terutama pada waktu malam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Seow Goek Lan, 66, berharap pihak berkuasa seperti Alam Flora dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

“Isu pembuangan dan longgokan sampah secara haram ini adalah besar bagi kami, kerana kesannya sampai kepada kami kerana terpaksa menghidu udara yang tercemar.

“Aduan juga sudah beberapa kali dibuat kepada pihak berkaitan, selain memaklumkan kepada wakil rakyat bagi membolehkan masalah ini dapat diselesaikan segera dan tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penguatkuasa SWCorp Kuantan, Norul Naqib Che Mat berkata, pihaknya sudah mengenalpasti beberapa pihak yang membuang sampah haram di kawasan berkenaan.

“Kita akan keluarkan notis kepada pihak yang terbabit supaya tidak lagi membuang sampah di sini namun, jika terus ingkar, mereka boleh dikenakan denda mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang memperuntukkan minimum denda RM10,000.

“Selain itu, pemantauan dari semasa ke semasa oleh pihak SWCorp akan dijalankan untuk memastikan tidak ada lagi pihak yang membuang sampah secara haram dan kita akan terus ambil tindakan kepada yang terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 10:48 AM