GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


SEBANYAK 41 peratus tandas awam di bandar raya Johor Bahru berada dalam keadaan sederhana bersih dan kurang bersih.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berkata, ia hasil pemantauan menerusi usaha penggredan 1,630 tandas awam dijalankan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada 2018.

Beliau berkata, ia termasuk tandas di pasar raya, restoran, stesen minyak, hentian bas, pusat ibadat, universiti dan sekolah.

Katanya, daripada bilangan tandas yang di gred, hanya 15.58 peratus mencapai tahap bersih dan amat bersih iaitu 4 dan 5 bintang, manakala 39.26 mencapai tahap memuaskan iaitu tiga bintang serta 41 peratus di tahap sederhana bersih dan kurang bersih iaitu satu dan dua bintang.

“MBJB akan melaksanakan penggredan tandas awam daripada semasa ke semasa dan antara perkara diambil kira termasuk persekitaran tandas yang bersih serta selesa, tandas berasingan bagi lelaki dan perempuan, mesra pengguna serta kemudahan bersesuaian.

“Ia mampu menggalakkan warga bandar raya untuk terus mengekalkan keindahan, keceriaan dan kesihatan.

“Ia juga penting dalam visi menjadikan Johor Bahru sebagai bandar raya bertaraf antarabangsa, berbudaya dan lestari,” katanya pada sidang media penguatkuasaan undang-undang di premis perniagaan di Pejabat MBJB, hari ini.

Mengulas mengenai pembaharuan lesen perniagaan, Amran berkata, mesyuarat jawatankuasa kesihatan dan pelesenan MBJB bersetuju melanjutkan pembaharuan lesen perniagaan dan iklan bagi 2019 mulai 15 Januari hingga 15 Februari depan bagi beberapa kategori lesen perniagaan.

Menurutnya, ia termasuk lesen perniagaan dan iklan berisiko tinggi seperti pusat hiburan, pusat hiburan keluarga, refleksologi, urutan tradisional dan spa.

“Pembaharuan kategori lesen perniagaan dan iklan berkenaan tidak dikenakan bayaran denda lewat.

“Bagi kategori lesen perniagaan dan iklan berisiko tinggi, pembaharuan lesen perniagaan dan iklan dikenakan bayaran denda lewat 10 peratus.

“Bagi kategori lesen perniagaan dan iklan tidak berisiko, mereka tidak dibenarkan untuk memperbaharui lesen dan perlu mengisi borang permohonan lesen baru dan dikenakan bayaran proses RM20,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 11:15 AM