Shamsul Munir Safini


JENAZAH pemain bola sepak kebangsaan, Allahyarham Abd Aziz Azizan, 54, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Lebai Tahir, Telur Air Tawar di Butterworth, pada jam 11 pagi ini.

Lebih 100 saudara terdekat dan sahabat handai memenuhi perkarangan tanah perkuburan sejak jam 10 pagi.

Allahyarham Abd Aziz menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat tekanan darah tinggi jam 4.18 petang, semalam.

Beliau yang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) disahkan mengalami kecederaan pecah di bahagian batang otak (brainstem) dan berada dalam keadaan koma, sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Isterinya, Intan Muliyati Mansor, 36, mengakui masih terkejut dengan pemergian Allahyarham Abd Aziz, namun reda.


JENAZAH Abd Aziz dikebumikan. FOTO SHahnaz Fazlie Shahrizal

“Pemergian abang (Abd Aziz) terlalu cepat, dia tak pernah ada penyakit, selain darah tinggi yang dikenal pasti Oktober tahun lalu. Abang tak pernah mengadu sakit sebelum ini sehingga dia rasa pening ketika bermain dalam perlawanan persahabatan di Balik Pulau, Ahad lalu.

“Ketika itu, abang sempat keluar padang dan minta bantuan ambulans untuk bawanya ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Allahyarham Abd Aziz, 54, adalah kapten skuad Harimau Kumbang pada 1950-an, selain turut mewakili Selangor dan Kedah sebelum menyertai skuad kebangsaan itu meninggalkan seorang isteri dan 11 anak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 11:38 AM