LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


SEEKOR anjing pengesan (K9) dan lebih 20 petugas berusaha mengesan Ustazah Nur Farhana Ibrahim, 27, yang dilaporkan hilang sejak 6.30 petang , 14 Januari lalu.

Difahamkan, usaha mencari itu disertai orang ramai, polis dan anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia yang melakukan pencarian di kawasan sekitar sekolah dan 'flat hijau' yang terletak di bahagian belakang sekolah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, pihaknya juga berusaha mengesan mangsa di kawasan surau dan masjid sekitar Balik Pulau.

Beliau berkata, usaha mengesan mangsa juga sudah dilakukan sejak laporan dibuat pada Selasa lalu termasuk menghebahkan kes berkenaan kepada orang ramai.

"Keluarga mangsa juga sedang berusaha mencarinya di kawasan yang sering dikunjunginya termasuk menghubungi rakan-rakannya.

"Polis tidak dapat memastikan keadaan terkini mangsa kerana hari ini sudah hari keempat dia hilang dan meninggalkan barangan peribadinya," katanya ketika dihubungi tadi.

Dalam kejadian 14 Januari lalu, suami mangsa menyedari wanita berkenaan hilang selepas dia tidak menjawab panggilan telefon pada 4.30 petang.

"Pada 6.30 petang hari kejadian, suami mangsa pulang ke rumah dan dapati telefon bimbit isterinya berada di atas almari bilik tidur mereka," katanya.

Beliau berkata, suami mangsa dikenali sebagai Naim kemudiannya menghubungi kawan-kawan isterinya dan bertanyakan di mana isterinya berada dan mereka memberitahu kereta isterinya berada di luar kawasan pagar sekolah.

"Guru besar Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau berkata, mangsa memang hadir ke sekolah pada 14 Januari itu dan mengajar murid seperti biasa, namun tidak hadir bertugas keesokan harinya.

"Suami mangsa berusaha mencari isterinya di kawasan sekitar, namun tidak menemuinya. Pihak sekolah juga menemui beg duit, kunci kereta dan alat tulis miliknya yang ditinggalkan di atas meja bilik guru," katanya.

Anbalagan berkata, suami mangsa memberitahu bahawa isterinya pernah menerima rawatan Psikiatri (Kemurungan) pada 2014 dan berulang alik dari Langgar, Kedah ke Balik Pulau, Pulau Pinang untuk mengajar.

Berita berkaitan

Di mana Ustazah Nur Farhana?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 11:56 AM