LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Junaidi Ladjana


PENJENAYAH yang mati ditembak selepas menjadikan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan di Taman Telipok Ria, Tuaran, Ahad lalu, disahkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, ia berdasarkan pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas terhadap cap cari suspek berusia 30-an terbabit yang tiada dalam rekod agensi itu.

“Berdasarkan laporan daripada JPN, penjenayah yang ditembak itu tidak mempunyai sebarang rekod di JPN. Suspek itu adalah warga asing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Omar berkata, semakan polis juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Motif sebenar kejadian tidak dapat dipastikan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh,” katanya.

Sementara itu Omar berkata, keadaan kanak-kanak perempuan itu semakin baik namun masih menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas.

“Kanak-kanak itu semakin pulih tetapi masih menerima rawatan di HWKK bagi memastikan keadaannya benar-benar sihat (sebelum dibenarkan pulang),” katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, suspek melarikan mangsa yang sedang bermain di tingkat empat pangsapuri berhampiran rumahnya lalu menjadikan kanak-kanak itu sebagai tebusan di rumah di tingkat sama.

Selepas beberapa jam berunding, suspek enggan menyerahkan mangsa dan beberapa kali mengacah-acah untuk mencampakkan kanak-kanak itu dari bahagian dapur rumah di tingkat empat berkenaan sebelum ditembak mati oleh anggota polis.

Mangsa yang cedera di leher kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Berita berkaitan:

  • Suspek jadikan budak tebusan disyaki PATI
  • Alhamdulillah, budak mangsa tebusan makin OK...>
  • [UPDATE] Polis cari 'Rashid', periksa telefon bimbit suspek>
  • 'Saya tak pernah jumpa dia'>
  • [UPDATE] 'Saya hanya mampu merayu
  • [UPDATE] Berakhirnya debaran 4 jam
  • Suspek culik budak dipercayai sakit mental
  • [UPDATE] Suspek jadikan budak tebusan ditembak mati
  • Budak perempuan 2 tahun jadi tebusan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 1:45 PM