CERMIN hadapan kereta mangsa pecah akibat terkena batu dipercayai daripada lori membawa muatan batu. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


LELAKI cedera di muka selepas terkena batu yang terjatuh dipercayai daripada lori membawa muatan batu di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran hentian sebelah Gombak, Gombak, semalam.

Dalam kejadian dipercayai berlaku 9 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 40-an cedera di bahagian muka akibat terkena batu yang memecahkan cermin hadapan kereta jenis Mazda dipandu lelaki berkenaan.

Kejadian itu turut mendapat perhatian netizen selepas beberapa video dan gambar mengenai kejadian berkenaan tular selepas dimuat naik di Facebook, semalam.

Dalam video berdurasi 22 saat itu, kelihatan mangsa berada di dalam kereta dengan mukanya dipenuhi darah selain lebam pada mata akibat terkena batu berkenaan.

Mangsa turut dibantu oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof ketika dihubungi, hari ini, memaklumkan pihaknya belum menerima laporan polis berhubung kejadian itu setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 3:26 PM