Manogaran (tiga kanan) bersama Lim (dua kiri) beramah mesra bersama peneroka felda ketika melakukan tinjauan mesra di gerai di Felda Sungai Koyan 3. FOTO Farizul Hafiz Awang
T.N. Alagesh dan Nik Sukry Ramli


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual turun berkempen bagi membantu Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, pada hari terakhir kempen, 25 Januari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kehadiran Pengerusi PH itu sudah tentu akan membantu meningkatkan sokongan dalam kalangan peneroka kepada pakatan itu

“Kami bergantung kepada beliau,” katanya pada sidang media sewaktu melancarkan slogan PH ‘Pembangunan Bersama Harapan’ di Bilik Gerakan PH di Sungai Koyan di Lipis, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Fuziah Salleh dan calon PH bagi PRK berkenaan, M Manogaran.

Bagaimanapun, Lim berkata jadual Dr Mahathir sepanjang kempennya di Parlimen belum diputuskan lagi.

Selain Dr Mahathir, Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga dijadualkan turut serta dalam kempen PRK kali ini pada 23 Januari ini, selain Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akan bersama-sama jentera kempen PH hujung minggu ini.

Sementara itu, Fuziah berkata, PH memberi tumpuan utama kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai memandangkan kawasan itu dikuasai Barisan Nasional (BN) yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Di kawasan DUN Tanah Rata kita sudah ada kekuatan kita di sana,” katanya.

Mengenai slogan baharu dilancarkan, Manogaran berkata ia amat sesuai dan tepat untuk digunakan memandangkan kerajaan Persekutuan ditadbir.

“Bila masa kempen, kita buat tinjauan isu di pekan Koyan, Jelai dan Cameron Highlands adalah isu pembangunan, selain itu ada juga isu seperti peluang perniagaan, pekerjaan dan sebagainya.

“Melihat kepada keperluan itu, kita lancarkan hari ini slogan ‘Pembangunan Bersama Harapan’ selaras dengan kehendak rakyat di Cameron Highlands,” katanya.

.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 4:25 PM