Fauzi (dua dari kanan) gembira apabila anaknya menerima sijil kelahiran
Siti Rohana Idris


TIGA beradik yang tidak memiliki sijil kelahiran ‘melompat kegembiraan’ apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan menyerahkan sijil itu kepada mereka, hari ini.

Sebelum ini, Nurul Syafiqah Fauzi, 10, Nurul Natasya, 9 dan Muhammad Fitri Syawal, 7, yang menetap di Lundang, Kota Bahru itu tidak dapat ke sekolah kerajaan kerana tiada sijil lahir selepas ibu bapa mereka gagal mendaftarkan perkahwinan kerana berkahwin di Yala, Thailand.

Lebih malang, ibu mereka, Anisah Abdul Rahman, 45, yang menetap di negeri ini sejak 13 tahun lalu di penjara lima bulan di Pengkalan Chepa atas tuduhan mencuri sebelum dihantar ke depot tahanan Imigresen di Tanah Merah, beberapa hari lalu.

Kini, hidup tiga beradik itu hanya bergantung sepenuhnya kepada bapa mereka, Fauzi Hassan, 51, yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat fizikal sejak lahir.

Fauzi berkata, sebelum ini dua anaknya, Nurul Syafiqah dan Nurul Natasya bersekolah di sekolah rendah swasta dan urusan persekolahan diuruskan isterinya.

“Kini bila isteri tiada, dua anak saya, termasuk anak bongsu (Muhammad Fitri Syawal) masih belum menjejakkan kaki ke sekolah walaupun masing-masing bersemangat untuk memulakan persekolahan.

“Dengan keadaan saya begini (cacat fizikal), bagaimana saya nak menguruskan persekolahan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Fauzi berkata, dia dan isteri berkahwin pada 2007 di selatan Thailand dan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka berikutan tiada sumber kewangan untuk membayar denda dan disebabkan itu, ketiga-tiga anaknya tidak memiliki sijil kelahiran.

Bagaimanapun, katanya, dia dan isteri itu mula memikirkan masa depan anak mereka dan membuat keputusan ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk merujuk kes perkahwinan mereka.

“Alhamdulillah ketiga-tiga anak kami juga sudah menerima sijil kelahiran bertaraf bukan warganegara hari ini bagi membolehkan mereka bersekolah di sekolah rendah kerajaan dan menerima kemudahan seperti orang lain,” katanya.

Penyerahan sijil kelahiran bertaraf bukan warganegara itu dilakukan Pengarah JPN Negeri, Asrehan Ab Razak.

Sebaik perkahwinan pasangan suami isteri itu didaftarkan di negara ini, pindaan terhadap sijil kelahiran tiga beradik itu akan dibuat dengan memasukkan taraf bapa sebagai warga Malaysia bagi membolehkan mereka menerima taraf warganegara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 5:40 PM