Izlaily Nurul Ain Hussein


EMPAT sekawan masing-masing didenda RM3,600 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas 12 tuduhan memiliki 470 kotak mercun pelbagai jenis tanpa kebenaran sah, akhir tahun lalu.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Voon Jiale, 26, James Teo He Xiang, 20, Kong Wai Keat, 20, dan Wong Ying Fei Kendrick, 19, mengaku bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama memiliki bahan letupan tanpa kebenaran yang sah iaitu 470 kotak mercun pelbagai jenis dan jenama, pada 31 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 74 Peraturan-peraturan Bahan Letupan 1923 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 76 peraturan sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300, jika sabit kesalahan.

Keempat-empat tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon hukuman ringan kerana mereka tidak bekerja.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Muhamad Dan memohon hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.

Siti Hajar kemudian menjatuhkan hukuman denda RM300 bagi setiap pertuduhan untuk setiap tertuduh dan mereka diperintahkan untuk dipenjara selama tujuh hari sekiranya gagal membayar denda itu.

Semua tertuduh membayar denda berkenaan.

Pada 1 Januari lalu, NSTP melaporkan polis melakukan rampasan mercun dan bunga api terbesar membabitkan nilai RM2.08 juta.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 petang di sebuah rumah yang dijadikan sebagai stor penyimpanan dekat Jalan Pulai Bayu 8, Taman Pulai Bayu, Johor Bahru, lebih 600 kotak mengandungi 29 jenis mercun dan bunga api dirampas.

Serbuan dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua (W2) Johor dan empat lelaki berusia 18 hingga 25 tahun turut ditahan.

Polis percaya mercun dan bunga api yang dirampas untuk musim perayaan dan pasaran tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 6:35 PM
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. Foto IZLAILY NURUL AIN HUSSEIN