Shamsul Munir Safini


“ALHAMDULILLAH, terima kasih rakyat Malaysia,” itu kata Madihah Zawawi, 43, yang tidak dapat menahan perasaan gembira selepas adik iparnya Nur Farhana Ibrahim, 27, berjaya ditemui di Kuala Kangsar, Perak, jam 4 petang hari ini.

Madihah yang berkampung lebih tiga hari di Balik Pulau ketika dihubungi memaklumkan dalam perjalanan ke Balai Polis Kuala Kangsar bagi menjemput adik iparnya yang hilang sejak 14 Januari lalu.

Menurutnya, dia bersyukur kerana Nur Farhana akhirnya ditemui dan berada dalam keadaan selamat.

“Saya tidak dapat menceritakan maklumat penuh bagaimana dia ditemui dan sebagainya kerana masih belum memperolehinya daripada pihak berkuasa.

“Apa yang saya tahu, kami hanya dimaklumkan anggota Balai Polis Kuala Kangsar bahawa dia berada dalam keadaan selamat dan masih berpakaian sama ketika dia hilang tempoh hari,” katanya ketika dihubungi.

Madihah berkata, dia ingin berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha menghebahkan berita kejadian menimpa adik iparnya itu sehingga dia berjaya ditemui semula.

Katanya, dia tidak tahu siapa yang menemuinya dan hanya dimaklumkan Nur Farhana sudah berada di Balai Polis Kuala Kangsar.

“Saya ingin berterima kasih kepada pihak berkuasa yang membantu mencarinya serta menggerakkan agensi berkaitan dalam usaha mengesan Nur Farhana.

“Keluarga kami juga ingin menyatakan rasa syukur dengan doa rakyat Malaysia sehingga Nur Farhana berjaya ditemui,” katanya.

Katanya, dia tahu bagaimana rasa penat yang dilalui semua pihak yang mencari Nur Farhana sejak tiga hari lalu kerana mereka juga berkampung di Balik Pulau bagi mencari adik iparnya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Harap Nur Farhana ditukarkan sekolah

Ustazah Nur Farhana ditemui di luar Pulau Pinang

Guna K9 cari Ustazah Nur Farhana

'Alhamdulillah, Ustazah Nur Farhana ditemui selamat'

'Di mana Ustazah Nur Farhana?'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 7:32 PM