NAJIB dan Ramli dengan komuniti Orang Asli suku Semai ketika berkempen di Kampung Terisu 3, Pos Terisu. FOTO Aizuddin Saad
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my

Cameron Highlands: Perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dijangka semakin hangat apabila lebih ramai pemimpin utama parti kerajaan dan pembangkang turun padang membantu kempen calon masing-masing.

Jadual kempen bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai yang dilihat sebagai ‘top gun’ (pemimpin utama pembangkang) selama tiga hari padat dengan aktiviti membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Noor.

Pemimpin pembangkang lain yang hadir adalah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Berdasarkan jadual kempen diedarkan Jabatan Penerangan pula, turut dijadual hadir dalam Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) adalah beberapa pemimpin utama parti kerajaan untuk membantu calon PH M Manogaran.

Mereka adalah Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PKR Fuziah Salleh.

Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir juga akan hadir.

Jika dilihat kepada jadual kempen yang diedarkan itu, Najib dan pemimpin pembangkang sepanjang tempoh tiga hari ini dilihat lebih banyak mengatur kempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.

Berdasarkan rekod Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kemenangan BN di Parlimen Cameron Highlands banyak disumbang menerusi undi di DUN Jelai yang menempatkan 12,485 pengundi, majoritinya kaum Melayu dan Orang Asli.

BN memenangi sembilan daripada 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di bawah DUN berkenaan dengan kebanyakan PDM adalah dari penempatan Orang Asli, desa dan kawasan FELDA.

Melihat kekuatan sokongan pengundi BN di DUN Jelai itu, tidak hairanlah mengapa kempen pemimpin utama PH juga banyak tertumpu di DUN Jelai termasuk Ceramah Perdana di Dataran FELDA Koyan 1 yang jika dijumlahkan jumlah pengundi PDM di FELDA Koyan 1, 2, dan 3 menjadikan ia 3,809 pengundi.

Keadaan itu dilihat jelas sebagai satu strategi untuk meraih lebih banyak undi daripada masyarakat Melayu dan Orang Asli di situ.

Pada PRU lalu, PH hanya berjaya menang di 10 daripada 17 Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Tanah Rata yang mempunyai 19,524 pengundi, majoritinya pengundi Cina dan India.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 11:02 AM