Hamdan hadir di mahkamah berhubung sebutan kali pertama pengurusan kes inkues kematian Adib. FOTO Eizairi Shamsudin
Murni Wan Omar


SERAMAI 30 saksi termasuk enam doktor akan memberi keterangan di Mahkamah Koroner di Shah Alam bagi prosiding inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24.

Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai pengendali Hamdan Hamzah ketika pengurusan kes itu di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, di sini.

Menurutnya, enam saksi itu adalah doktor yang merawat Adib di Institut Jantung Negara, Subang Jaya Medical Center, Hospital Kuala Lumpur termasuk pakar forensik.

“Selain itu kami akan turut memanggil anggota bomba, polis, pasukan perubatan dan orang awam yang berada di tempat kejadian. Kami akan menyiarkan rakaman video viral ketika kejadian.

“Kami juga memohon arahan daripada inkues ini bagaimana mahu mengendalikan prosiding. Memandangkan terdapat beberapa pihak yang tampil dan memohon menjadi pihak dalam prosiding inkues ini, saya cadangkan supaya arahan dibuat berhubung perkara itu,” katanya.

Rofiah menetapkan 52 hari bermula 11 Februari ini untuk pendengaran prosiding itu serta memerintahkan enam doktor dan pegawai penyiasat yang akan memberi keterangan menyediakan pernyataan saksi.

Terdahulu beliau memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mendengar prosiding itu dan sudah melapangkan tarikh bermula Februari sehingga ia selesai didengar.

Selain Februari, Rofiah menetapkan 1, 4 dan 5 Mac, 19 Mac sehingga 29 Mac dan 1 April sehingga 11 April untuk prosiding inkues itu didengar.

Beliau juga membenarkan pasukan peguam mewakili keluarga Muhammad Adib dan peguam Syazlin Mansor bagi pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyoal balas.

Selain itu mahkamah turut membenarkan peguam Mansor Saat yang mewakili Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hadir sebagai peguam pemerhati.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 31 Januari ini untuk memutuskan sama ada peguam Cyrus Tiu Foo Woei yang mewakili Majlis Peguam dan Jawatankuasa Petugas Khas Kuil Sri Maha Mariamman boleh menyoal saksi atau tidak.

Lima peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib ialah Mohd Kamaruzaman A Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, Ahmad Lufti Awang, Mohd Zubir Embong dan Mohd Tajuddin Abdul Razak.

Ketika prosiding pagi ini, Mohd Kamaruzaman memberitahu prosiding inkues itu bahawa pihaknya mempunyai kepentingan di dalam kes itu selepas dilantik oleh bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid.

Muhammad Adib yang parah dipercayai dipukul ketika insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), 17 Disember tahun lalu.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 12:25 PM