SAIFUL AZLY (kanan) pada sidang media kejayaan Operasi Mule Account. FOTO Salhani Ibrahim


ORANG lembam, penagih dadah, pesara dan penganggur antara ciri individu yang dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan.

Dapatan itu hasil Ops Mule Account yang dijalankan serentak di seluruh negara selama tiga minggu bermula 10 Disember lalu yang berjaya menahan 145 keldai akaun berusia 19 hingga 63 tahun.

Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, Ops Mule Account itu mensasarkan pemilik akaun yang dikesan terbabit dengan jenayah telekomunikasi, perbankan dalam talian, macau scam dan pinjaman tidak wujud.

“Dalam operasi ini pihak polis membuat tangkapan seramai 145 individu, terdiri daripada 90 lelaki dan 55 wanita berusia dari 19 hingga 63 tahun. Kita menjalankan soal siasat terhadap keldai akaun ini.

“Hasilnya kami mendapati antara ciri individu yang disasarkan menjadi keldai akaun adalah mereka yang mempunyai rekod lampau dengan bank; individu yang sedang mencari pekerjaan; penagih dadah, golongan yang tiada pekerjaan tetap atau tidak bekerja seperti suri rumah atau pesara; penuntut kolej, orang kurang upaya (OKU) lembam dan pekerja sosial.

“Kebanyakan golongan ini disasarkan kerana mahu mendapatkan wang dengan senang dan pantas selain tidak mempunyai pendapatan tetap, serta terdesak mahu menggunakan wang dan terpedaya,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini.

Saiful Azly berkata, antara alasan mereka menjadi keldai akaun adalah pernah membuat pinjaman dengan along, berkenalan dengan individu tidak dikenali melalui laman sosial, urus niaga dalam talian, kehilangan dompet yang mempunyai maklumat bank, terbabit urus niaga sewa kad ATM dan diperdaya sindiket.

“Justeru, saya meminta kepada semua pemilik akaun agar tidak terjebak menjadi keldai akaun dengan membenarkan individu lain menggunakan akaun anda untuk memasukkan duit dalam jumlah yang banyak sebelum memindah keluar wang berkenaan.

“Pihak bank boleh mengesan transaksi berkenaan.

“Pemilik akaun yang didapati terbabit boleh disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 414 KK, Seksyen 424 KK, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil serta Pelanggaran Terma dan Syarat Pembukaan Akaun Bank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 1:02 PM