RUMAH suami Nur Farhana di Langgar yang tiada penghuni. (Gambar kecil) Ahmad Fahmi. FOTO Amran Hamid.
Suzalina Halid


“ADIK saya memerlukan ruang dan tidak mahu diganggu kerana perlu berehat, malah saya sendiri belum berjumpa dengannya,” kata abang kepada ustazah, Nur Farhana Ibrahim, 27, yang hilang 14 Januari lalu sebelum ditemui dalam keadaan selamat semalam.

Ahmad Fahmi Ibrahim, 45, yang ditemui di rumah keluarganya di Kampung Sematang, Alor Setar berkata, dia sendiri tidak dimaklumkan lokasi Nur Farhana berada kini berikutan mahu memberikan masa buat adiknya itu menenangkan fikiran.

Bagaimanapun katanya, keluarga ada merancang membawa Nur Farhana yang juga anak kelima daripada enam beradik itu berubat termasuk kaedah tradisional.

“Saya mewakili pihak keluarga meminta supaya Farhana tidak diganggu buat masa ini kerana dia perlu berehat atas apa yang berlaku kepada dirinya itu, malah saya sendiri pun berikan ruang buatnya,” katanya.

Sebelum ini, Nur Farhana yang juga anak kelima daripada enam beradik itu dilaporkan hilang di Balik Pulau sejak 14 Januari lalu, namun dia ditemui dalam keadaan selamat semalam apabila hadir sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar.

Ahmad Fahmi berkata, sejak mengetahui berita mengenai kehilangan Nur Farhana, dia bersama ahli keluarga lain ‘berkampung’ di Pulau Pinang untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Katanya, keresahan mereka sekeluarga termasuk bapanya, Ibrahim Abdullah, 71, yang lumpuh akhirnya terubat apabila mendapat tahu Nur Farhana ditemui dalam keadaan selamat.

Namun, dia sekeluarga tidak berpeluang untuk berjumpa Nur Farhana di Kuala Kangsar semalam, kerana sebaik tiba adiknya sudah dibawa pulang.

“Kami amat risau sebaik mendapat tahu berita itu apatah lagi Nur Farhana memang nampak tertekan, sedih dan tidak seronok sejak akhir-akhir ini, malah dia sendiri mengadu penat sebab terpaksa berulang-alik dari Alor Setar ke Balik Pulau.

“Sedangkan sebelum ini, Nur Farhana dikenali sebagai seorang yang periang kalau jumpa ahli keluarga mesti akan peluk dan cium namun sebelum kejadian dia tidak ceria,” katanya.

Berita berkaitan

'Pernah tolak tawaran tukar sekolah'

'Tunggu laporan JPN isu guru kemurungan'

'Terima kasih rakyat Malaysia'

[UPDATE] Harap Nur Farhana ditukarkan sekolah

Ustazah Nur Farhana ditemui di luar Pulau Pinang

'Alhamdulillah, Ustazah Nur Farhana ditemui selamat'

Guna K9 cari Ustazah Nur Farhana

'Di mana Ustazah Nur Farhana?'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 4:45 PM