GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak


PEGAWAI polis yang berkhidmat sebagai ketua sebuah balai polis di Ipoh, Perak kini disiasat atas dakwaan melakukan ugutan jenayah terhadap pasangan suami isteri di Kampung Simee, Isnin lalu.

Pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan yang sudah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 29 tahun dan tiga tahun sebagai ketua balai itu didakwa mencekak leher baju lelaki berkenaan yang juga seorang doktor.

Malah, dia juga didakwa cuba memukul isteri lelaki terbabit yang juga seorang peguam.

Kejadian dikatakan berlaku jam 5.45 petang ketika suami isteri berkenaan sedang berjalan di kawasan taman perumahan di Kampung Simee sebelum secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Honda City dipercayai dipandu secara merbahaya hingga hampir melanggar pasangan terbabit.

Menurut sumber, keadaan itu menyebabkan doktor berusia 34 tahun itu menjerit ‘woi’ kerana terkejut.

“Jeritan itu membuatkan pemandu kereta berkenaan berhenti dan keluar daripada kereta lalu terus mencekak leher baju lelaki terbabit dan berulang kali bertanyakan pada doktor itu ‘you kenal saya siapa?’

“Pemandu kereta itu turut mengatakan akan mencari di mana rumah pasangan terbabit.

“Menurut mangsa ketika berhadapan dengan pemandu berkenaan, dia tercium bau alkohol serta mengesyaki lelaki itu dalam keadaan mabuk,” katanya ketika dihubung, hari ini.

Sumber berkata, ketika kekecohan itu berlaku, isteri doktor berkenaan membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit dan disedari pemandu kereta itu.

Katanya, pemandu berkenaan kemudian meluru ke arah isteri mangsa seperti ingin memukulnya tetapi dapat dihalang oleh doktor berkenaan.

“Susulan kejadian itu, doktor berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Simee, Ipoh jam 7.44 malam hari sama.

“Hasil semakan video daripada mangsa mendapati pemandu kereta berkenaan adalah seorang pegawai kanan polis yang juga ketua polis balai, sementara kereta dinaiki didaftar atas nama seorang wanita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, ketika dihubungi mengesahkan kes membabitkan ketua polis balai itu.

Menurutnya, siasatan lanjut mengenai dakwaan berkenaan sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 6:06 PM